Ya Allah

Antara NASIB & TAKDIR adalah sesuatu yang lebih kurang sama. MEREKA akan berubah hanya dengan DOA kita & dengan KeizinanNya

Monday, August 8, 2011

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?

Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.

Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).

Tiba-tiba terfikir satu persoalan.

Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?

Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?

"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37

"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62

Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.

Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?

Pastinya yang lebih baik.

Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.

Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:

"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"

"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"

Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.

Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.

Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2

Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?

Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.

Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.

Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.

Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.

Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.

- Artikel iluvislam.com

Glosari: futur bermaksud sikap malas, melambat-lambatkan dan bertangguh dalam keadaan dulunya sentiasa pantas dan efisien

PETUA AWET MUDA

Muka anda biasanya akan berminyak selepas bangun tidur.

Inilah masanya untuk mengamalkan urutan wajah.

Urutkan wajah anda dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi selawat ke atas Nabi 3 kali.

Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan dan letakkan di bawah dagu. Pusingkan jari anda ke pipi,pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi.

Lakukan setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. Perlu diingat, jangan sekali mengurut wajah anda dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan.

Sejurus bangun pagi baca doa, amalkan petua ini sebelum mandi dan gosok gigi. Masukkan air dalam mulut selama 10 saat dan selawat 3 kali dalam hati. Kemudian, baru diteguk.

Air liur pada awal pagi mengandungi enzim yang boleh menjadi penawar, kemudian barulah menggosok gigi.

Baca ayat 35 hingga 38 surah Al-Waqiah setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.

Setelah solat subuh, bacalah surah Yusuf kemudian minum tiga teguk air suam. Mudah-mudahan wajah kelihatan berseri dan awet muda.

Setelah itu lakukan senaman ringan. Hirup udara segar dari luar dan jalan tanpa memakai kasut di halaman yang berumput. Geselkan kaki di atas rumput yang masih berembun.

Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat.

Mulakan dari telunjuk kanan sehingga kelingking jari kanan, seterusnya kelingking jari kiri ke ibu jari kiri dan diakhiri dengan ibu jari kanan.

Amalkan menanam kuku dan rambut yang dipotong atau gugur mudah-mudahan mendapat berkat di dunia dan akhirat

Semasa berdandan pada waktu pagi baca selawat di kedua-dua telapak tangan dan rautkan ke muka beserta niat dalam hati supa diindahkan wajah seperti wajah Nabi Yusuf AS. Amalkan setiap pagi.

Ketika makan, janganlah disulam dengan minum air.

Minumlah setelah setengah jam selepas makan.

Rajin-rajinlah membaca Al-Quran dengan niat ikhlas kerana Allah.

Amalkan solat tahajud.

Sentiasa tenang dan bersikap positif.

Mulakan sesuatu urusan dengan nawaitu yang baik dan niat kerana Allah.

Maafkan semua orang sebelum tidur.

NOTA KAKI
`SUME NI DARI I LUV ISLAM`

Pengekalan Berat Badan Melalui Solat

agaimana solat membantu sebagai satu kaedah kerehatan tubuh? Pergerakan yang sering anda lakukan sejak kecil sehingga kini telah menjadi satu perbuatan tanpa sedar. Setelah mengangkat takbir, tahu-tahu dah selesai solat. Hanya anda yang tahu sama ada hadir atau tidak hati dalam amalan solat anda sebentar tadi. Pemahaman dalam bacaan dapat membantu khusyuk dalam solat.

Setelah anda mengangkat takbir, anda telah menyambung talian online dengan Allah S.W.T. Anda membayangkan bagaimana Allah S.W.T menjaga anda semasa anda di dalam rahim ibu. Kedudukan kedua belah tangan yang dirapatkan ke dada dan kaki yang membengkok untuk menempati ruang di dalam rahim ibu. Anda berjanji sesungguhnya hidup dan mati hanya kerana Allah S.W.T. Alangkah ruginya sekiranya tiada peningkatan di dalam solat.

Tanyakan pada diri sendiri: "Adakah kualiti solatku tadi lebih baik dari sebelumnya"?

Saya pasti anda ingat rukun solat iaitu:

Niat
Takbir
Berdiri
Membaca al- Fatihah
Ruku'
Iktidal
Sujud
Duduk di antara dua sujud
Tahiyyat Akhir
Salam

Mazhab Syafie' menambah rukun solat dengan:

Toma'ninah
Tertib
Berturutan.

Perbuatan solat dimulakan dengan hati iaitu niat, diikuti dengan pergerakan anggota iaitu berdiri, ruku', sujud, duduk di antara dua sujud kemudian diikuti dengan perbuatan dengan lidah iaitu membaca al-Fatihah, selawat ke atas Rasulullah dalam tahiyyat akhir dan ucapan salam.

Cuba kita hayati maksud pesanan Rasulullah S.A.W mengenai pergerakan solat:

Dari Abu Humaid A.S Sa'idi r.a berkata: "Aku mengingat solat Rasulullah S.A.W lebih baik daripada siapa pun di antara kalian. Aku melihat nabi S.A.W mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahunya dan mengucapkan takbir, dan ketika ruku' nabi S.A.W meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas dua lututnya dan punggungnya membungkuk lurus, kemudian setelah bangkit dari ruku' nabi S.A.W berdiri tegak sehingga semua tulang punggungnya berada di dalam posisi normal. Ketika sujud, nabi S.A.W meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas tanah dan menjauhkan lengan bahagian bawahnya dari tanah dan tubuhnya, dan jari jemarinya (kakinya)menghadap ke arah kiblat. Ketika duduk pada rakaat kedua, nabi S.A.W duduk di atas kaki kirinya dan menyangga kaki kanannya dan pada rakaat terakhir nabi S.A.W menekan kaki sebelah kirinya ke depan dan menopang kakinya sebelah kanan dan duduk di atas punggungnya. (1:79 Shahih Bukhari)

Kupasan adalah berdasarkan pemahaman fisiologi struktur badan manusia dan kajian saintifik mengenai kebaikan pada perubahan kedudukan tubuh dan amalan Rasulullah S.A.W yang diulas dari sudut pemahaman sains. Ia merangkumi:

01.Aplikasi teknik relaksasi


Fokuskan pada pernafasan. Tarik nafas sedalam-dalamnya dalam tempoh 30 saat. Bacalah satu ayat surah al-Fatihah dengan menarik nafas dan hembuskan nafas bersama satu ayat al-Fatihah. Contohnya: Tarik nafas yang dalam (deep breathing) dan sebut Bismillahirrahmanirrahim sambil menghembus satu nafas yang panjang.

Anda juga boleh mengira tarik nafas dengan kiraan 8 dan hembuskannya perlahan-lahan dalam kiraan 7.

02. Mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahu


Pergerakan ini akan melenturkan otot-otot trapezius kanan dan kiri. Otot-otot ini yang kerap menyebabkan kesakitan di bahagian tengkuk. Cuba lakukan pergerakan ini perlahan-lahan sehingga anda merasa regangan pada bahagian otot-otot ini. Otot trapezius melekat pada dasar tengkorak, pada bahagian tulang yang menonjol tulang belikat (scapula bone)dan pada bahagian tengah tulang belakang. Otot-otot ini melekat di bahagian tepi tulang belakang dari C1 hingga tulang thorasic.

03.Meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas dua lutut dan punggung membungkuk lurus


Bentuk tulang belakang pada posisi normal adalah berbentuk S terbalik dari sisi. Bahagian belakang adalah di antara bahagian tengkuk dan pinggang sedikit membonjol keluar. Bahagian punggung akan menonjol keluar juga dari sisi.

Sekiranya anda membongkok, ia akan membentuk sturktur S terbalik. Bagaimana membungkuk lurus?
Bahagian belakang akan membongkuk lurus apabila anda menolak kedua-dua bahagian bahu ke atas dan menarik bahagian atas pinggang ke bawah. Ini adalah satu cara regangan otot-otot bahu dan otot-otot pinggang.

04.Bediri tegak

Berdiri tegak sehingga semua tulang punggungnya berada di dalam posisi normal.

Seperti yang telah saya gambarkan kedudukan belakang dari tepi. Bentuk tulang belakang seperti S terbalik. Kedudukan ini adalah posisi normal. Di mana bumi mempunyai tarikan graviti Kedudukan tulang belakang seperti ini merupakan kedudukan belakang yang paling stabil pada setiap jaluran otot-otot belakang.

Tahukah anda bahawa terdapat empat (4) lapisan otot-otot belakang? Terdapat dua lapisan otot untuk sokongan tulang-tulang supaya ia melekat. Manakala dua lapisan otot lagi untuk tujuan menampung berat beban. Subhanallah...

Kedudukan pada posisi normal adalah kedudukan yang perlu anda kekalkan posturnya. Ia merupakan satu kaedah pencegahan sakit belakang. Tidak kira samada anda di dalam posisi berdiri atau duduk.

05.Ketika sujud

Ketika sujud, nabi Muhammad S.A.W meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas tanah dan menjauhkan lengan bahagian bawahnya dari tanah dan tubuhnya, dan jari jemarinya (kakinya)menghadap ke arah kiblat.

Semasa sujud, tumpukan berat badan pada 7 anggota sujud iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan perut anak jari kaki. Dengan melekatkan kedua (telapak) tangan di atas tanah memberi kerehatan pada otot-otot lengan bawah dan tangan. Membengkokkan siku dan pergerakan bahu memberi kesan kerehatan pada sendi pergelangan tangan, siku dan sendi baru.

Jari jemari kaki sepatutnya menghadap ke arah kiblat. Kebanyakan orang membiarkan jari jemari tegak tanpa di membengkokkan jari jemari kaki ke arah kiblat. Kedudukan kaki begini memberi kerehatan dan kesan regangan otot-otot tapak kaki. Justeru, ia juga akan menguatkan struktur urat-urat kaki untuk menampung berat badan.

06. Kedudukan pada ketika tahiyat awal dan tahiyat akhir

Kedudukan ini akan memberi lebih ruang pada bahagian jantung dan perut yang terletak di bahagian kanan dada. Kedudukan duduk pada kaki kiri dan menopang kaki kanan akan membantu pergerakan usus yang lebih lancar. Beberapa kedudukan di dalam solat dengan pembuktian saintifik membantu meningkatkan aliran darah ke alat kelamin lelaki dan menaikkan peranakan wanita.

Bagaimana sepatutnya dilakukan untuk memperolehi kesan yang maksima untuk tujuan tersebut?

Cuba anda bangun dari kedudukan sujud untuk berdiri dengan menekan pada telapak tangan dan ke semua jari jemari anda yang dibengkokkan ke arah kiblat. Anda akan merasa kesan panas pada bahagian dada, betis, peha dan bahagian kelamin anda.

Bagi kaum wanita, pergerakan ini menaikkan dan menguatkan serta mengetatkan otot-otot peranakan dan lantai rahim.
Pada kebiasaannya, punggung akan ditolak ke atas dahulu untuk peralihan pergerakan sujud kepada kedudukan berdiri tegak.

Ringkasan Pergerakan Solat Mengikut Amalan Pergerakan Solat Rasulullah S.A.W.

Langkah 1

Pastikan anda berdiri tegak. Betulkan kedudukan berdiri pada posisi normal. Kedua- dua belah kaki perlu mengimbangi kedudukan berdiri tegak. Jarak kaki kanan dari titik tengah sama dengan jarak kaki kiri dari titik paksi bumi dalam kedudukan berdiri tegak.

Langkah 2

Kedudukan kedua belah tangan bersudut 90 darjah dan di letak di atas dada merupakan kedudukan kerehatan sendi siku. Kedudukan tapak tangan kiri di bawah tapak tangan kanan di atas dada sebelah kiri sedikit.

Jantung seolah-olah berada di bawah tapak tangan anda. Dengan sedikit tekanan ke dada, anda dapat merasakan denyutan jantung anda di bawah telapak tangan anda. Ini merupakan kedudukan tangan untuk CPR (Cardio Pulmonary Resuscitation) sebagai satu prosedur menyelamatkan nyawa.

Langkah 3

Cara ruku' mengikut cara Rasulullah S.A.W ruku'. Kedudukan belakang membentuk 90 darjah. Anda hanya akan dapat melakukan kedudukan belakang yang lurus dengan menarik pinggang ke dalam.

Kedudukan belakang berbentuk S terbalik. Apabila anda ruku', bentuk belakang akan masih berbentuk S terbalik melainkan anda mengangkat kedua bahu ke atas dan menarik pinggang ke dalam.

Kedua telapak tangan diletakkan di atas tempurung lutut anda. Anda perlu menekan kedua-dua lutut dan kedudukan ini akan memberi kesan regangan di keseluruhan kaki anda.

Ini memberi kesan regangan pada bahagian belakang betis dan peha.

Langkah 4

Kedudukan ketika sujud.

Tumpukan pada 7 anggota sujud iaitu dahi, kedua tapak tangan, dua lutut dan dua perut anak ibu jari kaki.
Anda perlu merendahkan dada dan merasa lutut menekan ke dada anda.
Ingatlah pada kedudukan ini anda paling hampir kepada Allah S.A.W.
Otak anda pada paras terendah tubuh. Kajian menunjukkan pada kedudukan sujud, otak menjana gelombang alfa iaitu gelombang ketenangan
Tekanan di dada akan menekan jantung dan kawalan pernafasan akan membantu lebih banyak darah dialirkan ke otak.

Langkah 5

Bangkit dari sujud.

Kebiasaannya, punggung akan ditolak naik terlebih dahulu, sepatutnya anda perlu menekan pada 7 anggota sujud untuk berdiri.
Angkat dahi dan lutut dengan menekan kedua tapak tangan dengan siku mengbengkok keluar dan kedudukan belakang yang lurus.
Bergerak ke kedudukan tegak dengan menekan kedua tapak tangan dan perut ibu jari kaki, anda akan merasa tekanan pada kedua betis dan bahagian ari-ari menekan ke atas.
Ini merupakan satu senaman yang baik untuk mengalirkan darah lebih banyak ke bahagian bahagian sulit. Baik untuk lelaki dan wanita. Bagi lelaki ia membantu aliran darah lebih banyak ke bahagian zakar dan prostate. Bagi kaum wanita pergerakan ini membantu menguatkan otot-otot peranakan.

Langkah 6

Duduk di antara dua sujud.

Tumit menekan pangkal peha dan ibu jari kaki kiri ditegakkan pada perut ibu jari. Secara automatik, menegakkan ibu jari kaki akan menegakkan anak-anak jari yang lain. Ini merupakan senaman untuk urat-urat kaki.
Tekanan tumit pada pangkal peha dan betis akan menekan pada saraf safenus iaitu saraf utama untuk keseluruhan kaki anda.

Langkah 7

Menoleh kepala ke kanan dan kiri

Cuba lakukan perlahan-lahan dan kekal ke kanan dengan kiraan 8 dan baru menoleh ke kiri pula, sekali lagi kekalkan dengan kiraan 8. Pasti anda akan merasa kesan regangan otot-otot bahu anda.

- Artikel iluvislam.com

NOTA KAKI
* EMAIL YG AKU PERNAH TERIMA SEBELUM INI TAJUKNYA LEBIH KURANG PENEMUAN RAHSIA SOLAT IAITU SEPERTI SENAMAN..ALAMAK, TAK INGAT PLAK TAJUK DIA..SORRY YEK KALAU SALAH AYAT.. CUMA NAK DITAMBAH AYAT BAGI ARTIKEL INI IALAH 'ISLAM ITU INDAH'

Allah Mendengar Isi Hatimu

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Alhamdulilah gaji ku masuk jua akhirnya. Inilah kali pertama aku bekerja selepas menamatkan pengajian. Aku sudah niat gaji yang pertama ku ini akan akan aku sedekahkan untuk rumah anak-anak yatim.

Selama berbulan, aku masih belum mempunyai kesempatan untuk pergi ke rumah anak yatim yang memang hati ini mendambakan untuk berbakti di sana.

Aku berdoa kepada Allah supaya aku dapat pergi ke rumah mereka. Bagi ku anak yatim juga adalah tanggungjawab kita. Aku ingin menyayangi mereka seperti keluarga ku sendiri. Hati ini terpanggil untuk pergi ke sana. Di kampus dulu, dapat aku melihat keletah mereka semasa program anak yatim. Sekarang sejak bekerja, aku masih belum dapat menyusun jadual bertemu mereka. Aku berdoa moga Allah mempertemukan aku dengan mereka. Aku ingin menyayangi mereka. Malah, Bukhari meriwayatkan:

Daripada Sahl bin Sa'ad R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Maksudnya: "Aku dan orang yang menyantuni anak yatim kelak di Syurga seperti ini," lalu memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dengan sedikit merenggangkannya. [Riwayat al-Bukhari no 5304]

Pada petang Jumaat, pintu rumah ku di ketuk. Ada seorang budak lelaki berbaju melayu putih umur dalam lingkungan 10 tahun datang. Ibu ku pantas keluar. Aku hanya memandang dari dalam, hatiku dapat merasakan seolah-olah anak itu datang untuk mengutip derma. Ya Allah... Aku bersyukur kepadamu. Aku terus mencapai wang kertas yang ku simpan erat di genggaman tangan ku.

Ibu terus muncul di depan pintu, "Kasihan anak yatim tadi jauh datang dari selatan tanah air katanya rumah anak yatim mereka baru dibuka, mereka memerlukan kelengkapan untuk keperluan asas," kata ibuku. Aku lantas memberikan ibuku wang kertas tersebut.

Ibuku lantas memberikan kepada anak yatim tersebut. Anak yatim tersebut memberikan pula sekeping CD himpunan surah-surah lazim dari bacaan Ustaz Kazim Elias. Aku bersyukur Ya Allah... Alhamdulilah kerana mendengar isi hatiku ini. Hajat ku tercapai jua akhirnya. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Hati ini berdetik aku tinggal di barat tanah air sedangkan anak yatim tadi dari selatan tanah air. Ya Allah. Maha Besar.

Mengenang kembali setiap perkara yang berlaku. Setiap apa yang kita lahirkan dan sembunyikan dalam hati ini. Tiada apa pun yang tersembunyi oleh Allah. Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar setiap yang terbuku di hati ini. Oleh itu, kita haruslah sentiasa berdoa memohon kepada Allah. Beritahulah segala isi hati kita kepada Yang Maha Mencipta. Moga kita sentiasa di dalam rahmat kasih sayang-Nya.

"Segala yang ada di langit dan bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al-Baqarah: 284)

-Artikel iluvislam.com

NOTA KAKI
~ RENUNGAN BUAT DIRI KU DAN BERSAMA ~

Kenapa Subuh Petanda Kekuatan?

Waktu subuh adalah waktu perdana kepada kehidupan buat seseorang insan. Inilah waktunya apabila bermulanya kehidupan setelah insan mati buat sementara. Tidak menghairankan bahawa waktu subuh adalah salah satu daripada lima waktu solat yang wajib disempurnakan.

Waktu subuh hari adalah ujian kepada segala kekuatan. Kekuatan untuk bangun di awal pagi melepaskan diri daripada dakapan erat syaitan yang membisikkan, kekuatan untuk terus bingkas keluar dari litupan selimut hangat dan bantal empuk, malahan kekuatan untuk mengenakan air yang dingin ke muka, tangan, dahi dan ke kaki sebelum lantas bergerak ke tempat istimewa dan bermunajat bersama-sama insan pilihan Tuhan. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja selagi dia mempunyai keinginan jiwa yang tinggi.

Perkara yang sama ini juga telah dijadikan indikator dan penanda aras kepada kekuatan generasi pejuang ketika berlakunya peperangan-peperangan besar di zaman yang terdahulu. Kekuatan kebangkitan dan kekuatan barisan ketenteraan bukanlah kepada fizikal dan persiapan kelengkapan semata-mata, malahan persiapan yang lebih penting ialah persiapan kekuatan generasi pejuang di dalam menagih simpati untuk menang daripada Ilahi.

Tidak hairanlah bahawa inilah penanda kekuatan yang telah digunakan oleh Solahuddin al Ayyubi dahulunya sebelum menang ketika mendepani kekuatan tentera Salib yang merupakan kesatuan gabungan ketenteraan daripada 22 buah negara-negara Eropah.

Tidak hairanlah juga bahawa soalan-soalan yang ditujukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Lima waktu solat fardhu kemudian solat rawatib dan kemudiannya solat tahajjud. Di waktu penghujung malam sehingga subuh itu dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan para pejuangnya. Tidak dapat dibayangkan di manakah kedudukan kita jika berada di dalam barisan tentera baginda al-Fateh. Mungkin juga kita dan barisan pemuda kebangkitan kini bakal berada di barisan tercorot sekali.

Di atas alasan yang sama inilah juga menyebabkan agen-agen KGV di Chechnya dan agen-agen Gaddafi di Libya akan menangkap pemuda-pemuda yang bersolat subuh secara berjamaah dengan keyakinan bahawa mereka adalah pemuda kebangkitan yang bakal menggegarkan kerajaan Russia dan Libya.

Setelah kau berkeringat menyiapkan semua kelengkapan. Setelah kau canangkan semangat ke seluruh negara. Setelah kau iklankan kepada dunia seluruhnya. Namun, jangan lupa untuk menagih simpati dan pertolongan daripada Pemberi Kemenangan yang hakiki.

Wahai teman seperjuangan ! Sekiranya kita ingin memiliki kemenangan, jangan alpa dengan kekuatan yang ada pada waktu subuh, walhal terang dan nyata bahawa ianya merupakan petunjuk agung ciptaan Ilahi. Untukmu teman pejuang, inilah permulaan kepada semua kekuatan yang sebenar.

Ingatlah sumpahan Pemilik kepada segala kerajaan agar kita bisa meraih kemenangan.

- Artikel iluvislam.com

NOTA KAKI
~ BUAT RENUNGAN BERSAMA ~

Anda Semakin Matang Bila...

Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai.

Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa.

Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.

Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka.

Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat.

Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.

Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda.

Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya.

Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.

Anda memberi persetujuan kepada pendapat- pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang.

Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati.

Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.

Anda menghadapi orang-orang tua atau orang- orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif.

Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.

Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.

Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai.

Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.

Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita.

Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

- Artikel iluvislam.com

NOTA KAKI
~ hmm..terdapt beberapa kematangan dalam diriku kini.. Alhamdulillah ~